Filled Under:
Artis AF-Harap Muka Cantik Tapi Sayang Badan Tak Cantik
Posted By:
abam pomed
on 20:38
Siapa sangka, dalam tempoh lapan bulan penyanyi kelahiran Akademi Fantasi 2015, Nur Najmi Nabila, 22, atau Bila berjaya menurunkan berat badan sebanyak 28 kilogram (kg).
Penyanyi yang juga anak kepada pemain bass Wings, Eddie ini berjaya menurunkan berat badan dari 140.8kg kepada 112.4kg.
Bila berkata, dia bertekad menurunkan berat badan selepas ditegur seorang wanita, tahun lalu.
“Muka cantik tapi sayang badan tak cantik. Inilah kata-kata wanita itu yang membuatkan saya bertekad melakukan perubahan.
Menurut Bila, wanita itu turut menawarkan diri untuk menjadi jurulatih peribadinya.
“Pada diet pertama, saya tinggalkan minuman manis dan lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan selepas mengamalkannya setiap hari,” katanya.
Pada bulan pertama amalan diet dan senaman dilakukan, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 4kg.
Ditanya dari segi rutin, dia akui memulakan harinya pada jam 9 pagi untuk bersenam. Jika ada masa terluang, dia turut melakukan senaman pada sebelah petang.
Antara rutin senaman dilakukan adalah yoga, senamrobik dan berlari turun naik bukit berhampiran rumahnya.
“Petua yang diturunkan jurulatih itu mudah, saya boleh makan apa saja makanan tetapi pada kuantiti sedikit. Selepas jam 7 malam pula, saya tidak boleh makan kecuali minum air kosong.
“Dalam tempoh seminggu, saya akan lakukan latihan sebanyak lima kali,” katanya berterima kasih kepada jurulatih itu yang dikenali sebagai Datuk Khairunisa.
Ditanya dari segi perubahan ketara dilalui selepas berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh itu, Bila berkata, dia tidak lagi berasa cepat penat.
Malah, setiap kali membuat persembahan, nyanyiannya lebih lancar dan tidak lagi ‘mengah’.
Selain itu, kulit badan juga lebih bersih mungkin kerana sering mengamalkan minum air kosong setiap masa.
Katanya, dia akan pastikan meminum dua liter air kosong setiap hari.
“Kini badan memang rasa lebih ringan. Saya juga lebih mudah untuk solat berbanding dulu. Saya tidak nafikan pernah sukar melakukan solat kerana mempunyai perut yang besar.
“Pada awalnya, saya pernah berputus asa tetapi apabila difikirkan semula, saya sudah mencapai tahap ini dan kenapa perlu putus asa begitu sahaja?” katanya.
Disebabkan itu, dia nekad untuk meneruskan rutin diet dan senaman bagi mencapai sasaran berat badan 70kg pada masa depan.
Namun, jurulatihnya mahu Bila mencapai berat badan 63 kg tetapi Bila dalam nada seloroh menganggap berat badan itu terlalu kurus untuk dirinya.
Selain itu, peminat juga sentiasa bertanya melalui laman sosial mengenai tip dan petua diamalkannya untuk menjadi kurus.
“Saya kongsikan semuanya dengan peminat kerana percaya ia adalah sesuatu yang positif dan boleh menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Keluarga saya juga sudah mula mengikut jejak langkah saya. Kini, kami sudah menjadi keluarga sihat!” katanya.
Bila turut memantau pemakanan keluarga bagi memastikan mereka kekal menjalani kehidupan sihat.
Katanya, makanan paling berkesan dan menjadi pilihannya ialah ayam panggang dan sayur-sayuran.
Bila akui tidak sukakan sayur suatu ketika dulu tetapi disebabkan menjadikan makanan hijau ini sebagai rutin, rasa ‘benci’ bertukar menjadi suka.
Jadi pembantu penerbit
Biarpun namanya kurang menyerlah berbanding rakan seangkatan lain, Bila tetap aktif dalam muzik.
Terbaru, dia menjadi pembantu penerbit untuk sebuah band dikenali Off-Note dari Kuantan, Pahang.
“Saya membantu bapa yang juga penerbit untuk band ini. Pada masa sama, saya juga menjadi jurulatih vokal mereka.
“Saya mahu siapkan projek ini terlebih dulu sebelum siapkan projek single saya pula selepas ini,” katanya.
Katanya, dia merancang mengeluarkan single terbaru selepas Aidilfitri tahun ini.
Selepas itu, dia akan mengeluarkan album mini yang dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.
Selain itu, dia juga teruja menantikan maklum balas peminat tatkala filem pertama lakonannya, Enjin No 9 arahan pertama Raja Azmi ditayangkan 29 Mac ini.
Katanya, walaupun pertama kali berlakon, dia tidak berdepan dengan masalah kerana sering dibantu pelakon berpengalaman seperti Sharifah Shahira dan Dottie.
“Mereka banyak tolong saya dalam filem ini dan perasaan gementar hilang sebaik saja penggambaran bermula,” katanya.
Dalam filem genre komedi itu, Bila membawa watak gadis kampung yang menyertai kumpulan feminis diketuai Sharifah Shahira menentang perkahwinan antara seorang duda dan janda di kampung mereka.sumber