Filled Under:

Pelakon-Cukuplah Watak Budak-Budak


USIANYA sudah pun 21 tahun, namun Sweet Qismina terus ditawarkan dengan watak kanak-kanak.

Susulan itu, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Hikayat Putera Shazlan ini mohon diberi ruang untuk menjayakan karakter yang bersesuaian dengan umurnya.

"Saya sebenarnya mahukan watak yang lebih matang ataupun remaja. Kiranya, watak yang selari dengan usia saya dan tak terlalu dewasa.

"Lagipun, saya dah letak target bila usia 20 tahun, I want to change totally dari segi pengambilan watak untuk lakonan," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran filem televisyen (FTV), Suatukala, baru-baru ini.

Bukan mahu bersikap cerewet, namun hos program ChiChi & ChaCha ini terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan kerjaya seninya.

"Saya tahu, ramai yang kata fizikal saya seperti budak-budak, jadi mereka kata susah untuk saya capai tahap dewasa seperti artis lain.

"Tapi, saya akan cuba tukar perspektif mereka melalui bakat lakonan saya. Saya tak mahu lagi dilabel sebagai pelakon kanak-kanak," jelasnya.

Pun begitu, itu bukan bermakna pemilik nama sebenar Farhanna Qismina Supandi ini akan terus menolak untuk menerima watak kanak-kanak, pada masa depan.

"Saya bukannya menolak bulat-bulat, jika tawaran itu datang saya akan pertimbangkan dulu.

"Ia juga bergantung kepada karakter dan jalan cerita naskhah terbabit," katanya lagi.

Selain Sweet, Suatukala turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Kamal Adli, Dynas Mokhtar, Amir Raja Lawak, Sharifah Shahirah, Liza Othman, Rykal Iskandar, Wafiy Ilhan, Harith Haziq, Qistina Raisah, Arel Azimi dan Firdaus Ghufran.

Suatukala menemui penonton melalui saluran Astro First Eksklusif (480) dengan bayaran RM15.90 untuk tempoh 48 jam mulai 15 Mac lalu. sumber