SHAH ALAM 14 April - Pengacara popular Nabil Ahmad mengambil alih membayar sepenuhnya pakej umrah tiga peminat selepas individu yang sepatutnya menaja program My Umrah Story menarik diri pada saat-saat akhir.
Jelas Nabil, mengikut perancangan program tersebut kesemua peminat yang dipilih hanya perlu membayar Rm3,000 dan selebihnya akan ditanggung individu terbabit.
Bagaimanapun ketiadaan khabar berita daripada individu itu selepas pembayaran dibuat membuatkan Nabil mengambil tanggungjawab menunaikan impian tiga peminatnya itu untuk menunaikan umrah.
“Saya anggap ini cara untuk saya menghargai sokongan mereka selama ini. Mungkin ini juga rezeki saya untuk menaja umrah mereka.
“Perkara sudaj nak jadi, saya juga tidak tahu alasan penarikkan diri saat-saat akhir penaja ini. Tetapi tidak mengapa, yang penting saya dapat tunaikan niat mereka untuk menunaikan umrah,” katanya pada majlis kesyukuran dan doa selamat bersempena 10 tahun berkecimpung dalam industri seni malam tadi.
Kongsi Nabil, dia juga berharap agar permulaan kali pertama akan membuka laluan untuk dia menaja lebih ramai peminat pada tahun-tahun akan datang.
“Manalah tahu, tahun ini saya hantar tiga orang ke Mekah, tahun depan kalau rezeki menjadi saya hantar 30 orang pula.
“Saya memang sudah lama berniat jadi bila perkara begini berlaku saya anggap ini masanya untuk saya tunaikan apa yang saya niatkan itu.
“Sebab saya ke umrah dan haji juga orang taja, jadi ini waktu saya pula untuk berbuat demikian,” jelasnya lagi.
Sementara itu ketiga-tiga peminat Nabil itu dijangkakan akan menunaikan umrah pada Ramadan ini.
sumber - UTUSAN ONLINE