MEMPUNYAI rupa yang cantik pasti akan menarik perhatian orang ramai lebih-lebih lagi apabila golongan ini menduduki kerusi dalam kancah politik negara.
Terdahulu, beberapa ahli politik wanita yang mempunyai kedudukan dalam parti yang berbeza iaitu antara Exco Puteri UMNO, Dira Abu Zahar dengan pemimpin Sosialis Muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud menjadi buah mulut orang ramai.
Dua jelitawan ini turut dibandingkan antara satu sama lain mengikut kredibiliti masing-masing dan mula menimbulkan pertikaian dengan menyoal adakah parti politik menggunakan wanita yang mempunyai paras rupa sebagai satu tarikan ke arah parti?
Tidak terlepas juga Syefura Othman turut menjadi bualan rakyat Malaysia yang mengikuti jejak langkah Dyana Sofea masuk ke parti DAP dengan memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha DAP Wanita Kebangsaan.
Berikutan itu, seorang lagi ahli politik wanita baru-baru ini yang mencuri tumpuan masyarakat berikutan mempunyai rupa parasnya yang menawan.
Jo-Anna Sue Henley Rampas, 29, anak kelahiran Sabah yang merupakan Ikon Belia Parti Warisan Sabah yang pernah mendapatkan pendidikan ijazah dalam bidang undang-undang di United Kingdom.
Dilaporkan portal online tempatan, Jo-Anna juga pernah berkecimpung dalam bidang seni dan hiburan sebelum terlibat dengan politik. Dia pernah menjadi penyanyi dan model, malah wanita ini juga adalah Ratu Cantik Unduk Ngadau.
Tidak hairan jika dia terlibat dengan politik kerana keluarganya juga mempunyai latar belakang politik. Ibunya adalah calon Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) pada tahun 1994 dan bapa saudaranya pula adalah seorang ahli Dewan Undangan Negeri dari tahun 1999 hingga 2013.
Anak sulung kepada tiga orang beradik masyarakat Dusun Kiulu itu masih lagi setahun jagung dan baru berjinak-jinak dalam politik. Malah kehebatannya dalam politik masih belum setanding lagi dengan kecantikan rupa parasnya.
Sudah lambat untuk anda memikat jelitawan ini kerana sudahpun berkahwin dengan pilihan hatinya, Dr Denvi yang merupakan seorang doktor berbangsa India.
Sebelum berkahwin lagi, Jo-Anna telah dikaitkan dengan banyak kes skandal dengan beberapa ahli politik lain antaranya Marzuki Nasir, Ceasar Mandela Malakun dan Azis Jamman.
sumber– MYNEWSHUB